Presiden Jokowi mula bertugas di Ibu Kota Nusantara Selasa depan

Syafik Shukri Jalil
September 7, 2024 14:35 MYT
Pada 17 Ogos lalu, Indonesia menyambut Hari Kemerdekaan ke-79 di IKN. - Gambar/ Reuters
KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi akan mula bertugas di Ibu Kota Nusantara (IKN) selama 40 hari bermula 10 September sehingga 19 Oktober depan.

Ringkasan AI
  • Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi akan mula bertugas di Ibu Kota Nusantara (IKN) selama 40 hari bermula 10 September sehingga 19 Oktober depan.
  • Sepanjang tempoh itu, Jokowi juga akan melakukan lawatan kerja ke beberapa daerah dan kawasan luar dari IKN.
  • Pada awal September lalu, Jokowi dilaporkan menangguhkan rancangan pemindahan ke IKN di Kalimantan Timur.

Memetik laporan portal Kompas, Jurucakap Pejabat Presiden, Heru Budi Hartono berkata, sepanjang tempoh itu, Jokowi juga akan melakukan lawatan kerja ke beberapa daerah dan kawasan luar dari IKN.
‘’Perancangan beliau untuk bekerja di IKN berkemungkinan bermula 10 September ini sehingga 19 Oktober depan.
‘’Selain itu, beberapa sidang mesyuarat bersama pegawai pentadbiran tertentu juga akan diadakan di IKN,’’ katanya.
Pada masa sama, Heru berkata, sejumlah penjawat awam dari Kementerian Sekretariat Negara, termasuk Sekretariat Presiden juga sudah mula bekerja di IKN.
Pada awal September lalu, Jokowi dilaporkan menangguhkan rancangan pemindahan ke IKN di Kalimantan Timur.
Ia selepas pemimpin tersebut memberi alasan mahu menunggu sehingga lapangan terbang atau bandar udara (bandara) IKN beroperasi terlebih dahulu.
Sebelum itu pada 17 Ogos lalu, republik itu menyambut Hari Kemerdekaan ke-79 di ibu negara baharu, Nusantara, buat kali pertama.
Sambutan tersebut diketuai Jokowi yang turut diiringi presiden terpilih, Prabowo Subianto yang akan memulakan tugas sebagai presiden secara rasmi pada 20 Oktober depan.
#Joko Widodo #Ibu Kota Nusantara #Prabowo Subianto #Kalimantan Timur
;