Presiden Jokowi lawat pasar di Wilayah Jambi
Bernama
April 5, 2024 08:20 MYT
April 5, 2024 08:20 MYT
JAKARTA: Presiden Joko Widodo yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Wilayah Jambi meneruskan rutinnya melawat pasar-pasar pada Khamis untuk memeriksa kemudahan itu dan bekalan barangan keperluan.
Diiringi Menteri Kerja Raya Basuki Hadimuljono, Joko Widodo yang juga lebih dikenali sebagai Jokowi menekankan kepentingan menambah baik kemudahan itu untuk kesejahteraan peniaga dan keperluan memantau harga barangan keperluan.
Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Presiden, Jokowi mengutarakan kebimbangannya mengenai pencahayaan di dalam pasar yang tidak mencukupi yang menyebabkan peniaga lebih gemar berurus niaga di luar.
Beliau kemudiannya mengarahkan Basuki supaya menambah baik pencahayaan untuk memberi manfaat kepada peniaga, ekonomi setempat dan meningkatkan keselesaan masyarakat.
Sebuah daripada pasar yang dilawati Jokowi pada Khamis termasuk Pasar Muara Bungo di Daerah Bungo.
Jokowi gembira dengan bekalan yang ada dan kestabilan harga barangan keperluan, terutamanya beras di pasar itu.
Harga sama juga didapati di Pasar Tanjung Bungur di Daerah Tebo dan Pasar Merangin di Daerah Merangin, kedua-duanya yang dilawati beliau pada Rabu.
Harga barangan seperti bawang merah dan bawang putih adalah konsisten dengan harga di wilayah-wilayan lain, kata Jokowi memuji kestabilan harga kedua-dua item itu menjelang sambutan Aidilfitri.
Semasa lawatan itu, beliau juga berinteraksi dengan peniaga dan orang awam selain merakamkan kenangan secara swafoto.
-- BERNAMA