Presiden Jokowi berusaha wujudkan Nusantara yang selamat, bebas jenayah

Bernama
Julai 30, 2024 15:30 MYT
Jokowi mula bekerja dari Istana Garuda di Nusantara pada Isnin. - Foto Akaun X @jokowi
JAKARTA: Presiden Joko Widodo, yang juga dikenali sebagai Jokowi bertekad memastikan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, menjadi sebuah bandar yang selamat dan bebas jenayah, lapor ANTARA.
Beliau akan mengadakan pertemuan dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Nasional (Polri) untuk membincangkan laporan mengenai isu keselamatan di Nusantara pada Selasa.
"Presiden mahu Nusantara menjadi ibu negara yang selamat dan bebas jenayah," kata Timbalan Protokol, Akhbar dan Media di Sekretariat Presiden, Yusuf Permana dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Jakarta pada Isnin.
Jokowi juga dijadual mengadakan mesyuarat bersama pegawai-pegawai kanan termasuk Panglima Komando Wilayah VI/MLW, Ketua Polis wilayah Kalimantan Timur, Panglima Komando Wilayah 091/ASN dan Tentera Penajam Paser Utara di Nusantara.
"Pada masa yang sama, (beliau) akan mengadakan mesyuarat bagi mendapatkan laporan mengenai perkhidmatan dan perlindungan untuk masyarakat, penguatkuasaan undang-undang serta peningkatan kestabilan dan keselamatan di Nusantara dan kawasan sekitar," kata Yusuf.
Jokowi mula bekerja dari Istana Garuda di Nusantara pada Isnin.
Presiden itu juga bercadang untuk mengadakan mesyuarat Kabinet di Istana Garuda selepas semua menteri yang sedang bertugas di luar negara pulang ke tanah air.
-- BERNAMA
#Presiden Indonesia #Joko Widodo #Jokowi #nusantara #bandar bebas jenayah
;