Presiden Joko Widodo anugerah Prabowo Subianto pangkat jeneral empat bintang

Bernama
Februari 28, 2024 22:38 MYT
Penganugerahan itu berlangsung semasa acara TNI-Polis Republik Indonesia di ibu pejabat TNI di Cilangkap, Jakarta Timur. - Gambar Vico - Biro Pers Sekretariat Presiden
JAKARTA: Menteri Pertahanan Indonesia dan calon presiden Prabowo Subianto dianugerahkan pangkat jeneral kehormat empat bintang oleh Presiden Joko Widodo pada Rabu.
Penganugerahan itu berlangsung semasa acara Tentera Nasional Indonesia (TNI)-Polis Republik Indonesia di ibu pejabat TNI di Cilangkap, Jakarta Timur.
Joko Widodo berkata anugerah bintang itu telah disahkan oleh Majlis Bintang dan Darjah Kebesaran, mengikut Undang-undang Nombor 20 tahun 2009.
Beliau menegaskan bahawa anugerah itu sepatutnya diberikan dua tahun lalu, mengiktiraf sumbangan Prabowo kepada sektor pertahanan dan kemajuan negara.
Prabowo bersara sebagai Panglima Komando Strategis TNI Angkatan Darat berpangkat Leftenan Jeneral semasa pemerintahan presiden BJ Habibie pada 22 Nov, 1998.
Tokoh terkenal lain yang menerima pangkat kehormat Jeneral TNI, termasuk Presiden ke-6 Susilo Bambang Yudhoyono dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim Luhut Binsar Pandjaitan.
-- BERNAMA
#sektor pertahanan #pangkat kehormat #kemajuan negara #calon presiden
;