Presiden AS Joe Biden selamat jalani pembedahan buang kanser kulit
Agensi
Mac 5, 2023 15:10 MYT
Mac 5, 2023 15:10 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dilaporkan selamat menjalani pembedahan membuang sel kanser kulit pada Februari lalu.
Memetik CNN Indonesia, berita ini disahkan oleh pegawai perubatan Rumah Putih, Kevin O'Connor pada Jumaat lalu.
"(Presiden Joe Biden) sihat, kuat dan cergas," kata O'Connor kepada Associated Press.
O'Connor memberitahu pembedahan dijalankan ke atas sel basal (membengkak) yang berakar umbi di bahagian dada presiden dan kesihatan Biden dilaporkan semakin pulih serta akan meneruskan pemeriksaan kulit secara berkala.
Sel basal adalah salah satu bentuk kanser yang paling biasa dan mudah dirawat. Menurut O'Connor, sel tidak mudah merebak seperti kanser lain.
Walau bagaimanapun, sel basal boleh membesar dan mesti dikeluarkan.
Selain sel basal, Biden juga pernah menjalani pembedahan membuang "beberapa sel kulit bukan melanoma setempat" sebelum menjadi Presiden.
Ini juga didedahkan oleh O'Connor apabila Biden membuat kenyataan sebelum ini bahawa dia menghidap kanser.
Dalam ucapannya, Biden menceritakan tentang kampung halamannya yang terletak berhampiran kilang penapisan minyak di Claymont, Delaware.
Dalam pada itu, isteri Biden, Jill Biden juga menjalani pembedahan untuk membuang sel-sel kanser pada Januari lalu.
Rumah Putih memaklumkan, pembedahan berjalan lancar dan doktor berjaya mengeluarkan dua ketumbuhan barah dalam tubuh Jill.