Presiden Joe Biden isytihar darurat di Mississippi, lulus bantuan kecemasan
Agensi
Mac 26, 2023 20:54 MYT
Mac 26, 2023 20:54 MYT
PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden mengisytihar darurat di Mississippi dan meluluskan dana bagi membiayai bantuan kecemasan di daerah Carroll, Humphreys, Monroe dan Sharkey, kawasan yang paling dahsyat dibadai puting beliung, Jumaat lalu.
Memetik TRT World, White House dalam satu kenyataan memaklumkan, pembiayaan persekutuan akan digunakan dalam usaha pemulihan termasuk penempatan sementara, pembaikan rumah, pinjaman yang meliputi kerugian harta benda yang tidak diinsuranskan, program individu dan lain-lain.
Pegawai Penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) John Boyle turut dilantik menyelia operasi pemulihan persekutuan.
Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh manakala puluhan cedera di Mississippi ketika ribut kuat melanda beberapa bandar yang mana turut menyaksikan seorang penduduk maut selepas rumah trelernya terbalik beberapa kali di Alabama.
Anggota pencarian dan pemulihan meneruskan usaha mencari dan menyelamat di bawah timbunan tanah yang menyaksikan banyak rumah serta bangunan musnah, manakala ratusan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Sementara itu, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran risiko cuaca yang lebih teruk bakal berlaku termasuk angin kencang, hujan batu dan kemungkinan puting beliung di timur Louisiana, selatan tengah Mississippi dan selatan tengah Alabama.