Presiden Iran mohon maaf, tekad bawa pelaku ke muka pengadilan
Agensi
Januari 11, 2020 13:06 MYT
Januari 11, 2020 13:06 MYT
Presiden Iran, Hassan Rouhani hari ini memohon maaf dan melahirkan rasa kesal beliau terhadap tragedi menembak jatuh pesawat penumpang Ukraine yang meragut 176 nyawa pada Rabu lalu.
Ia susulan hasil siasatan awal oleh pihak tentera negara itu mendapati telah berlaku 'kecuaian manusia' sehingga menyebabkan pesawat ditembak jatuh oleh peluru berpandu tentera negara itu.
Hassan dalam catatan di laman sosial Twitter berkata; “Siasatan akan terus dilakukan untuk mengenal pasti dan mengenakan pendakwaan terhadap kesilapan yang tidak boleh dimaafkan ini.
"Ingatan dan doa saya adalah kepada ahli keluarga mangsa yang berkabung. Saya sejujurnya mengucapkan takziah,’ tambahnya dalam satu lagi catatan Twitter.
Iran pada Sabtu mengakui pihak tentera negara itu telah secara ‘tidak sengaja’ menembak jatuh pesawat penumpang milik Ukraine terbabit meskipun sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya perkara itu.
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif dalam catatan Twitter beliau berkata selain 'kesilapan manusia', sikap ‘gemar mengambil risiko’ oleh Amerika Syarikat juga menyumbang kepada tragedi itu.
Pesawat Boeing 737 yang dikendalikan oleh syarikat Penerbangan Antarabangsa Ukraine itu, terhempas di pinggiran ibu kota Tehran sejurus berlepas, hanya beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke arah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Iraq.
#Amerika Syarikat
#Iran
#peluru berpandu
#pesawat
#pesawat Ukraine
#siasatan
#tembak
#Twitter
#Ukraine