Presiden Iran calonkan bekas perunding nuklear sebagai Menteri Luar

Bernama
Ogos 11, 2024 13:51 MYT
Araghchi pernah berkhidmat sebagai Duta ke Finland dan Jepun serta Timbalan Menteri Luar semasa zaman Allahyarham Presiden Ebrahim Raisi. - Reuters
TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mencalonkan diplomat veteran dan bekas perunding nuklear, Abbas Araghchi, sebagai menteri luar, lapor agensi berita ISNA pada Ahad, menurut agensi berita Jerman (dpa).
Araghchi masih memerlukan kelulusan daripada penggubal undang-undang di Parlimen, namun sokongan mereka dianggap terjamin.
Araghchi pernah berkhidmat sebagai Duta ke Finland dan Jepun serta Timbalan Menteri Luar semasa zaman Allahyarham Presiden Ebrahim Raisi.
Beliau mengetuai pihak Iran semasa rundingan di Vienna yang menghasilkan perjanjian pada 2015, di mana Tehran dan beberapa kuasa dunia menandatangani perjanjian yang meletakkan sekatan ketara ke atas program nuklear Iran sebagai pertukaran untuk pelepasan sekatan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau juga mengetuai pasukan Iran dalam rundingan yang setakat ini belum berjaya untuk menghidupkan semula perjanjian itu, selepas ia terjejas apabila Amerika Syarikat (AS) menarik diri dan Tehran gagal mematuhi perjanjian itu.
Araghchi mengetengahkan dirinya sebagai penyokong hubungan yang lebih baik dengan Barat dan dialog terbuka, walaupun kritikal, dengan Washington.
Pezeshkian berkata penyambungan semula rundingan nuklear adalah keutamaan agendanya, kerana beliau berhasrat untuk menghentikan sekatan Barat dan menarik Iran keluar daripada krisis ekonomi selama hampir enam tahun.
Penganalisis politik percaya Pezeshkian enggan terlibat dalam konfrontasi ketenteraan dengan Israel, kerana percaya ia boleh membahayakan kedua-dua kemungkinan rundingan nuklear baharu dan rundingan gencatan senjata semasa di Gaza.
Pada Sabtu, Pezeshkian mengesahkan bahawa beliau mengekalkan Mohammad Eslami sebagai Ketua Organisasi Tenaga Atom Iran.
Pemerhati percaya bahawa Araghchi, bersama dengan Javad Zarif, yang telah dilantik sebagai naib presiden, dan Eslami, akan membentuk trio bagi sebarang rundingan masa depan untuk menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015.
Selepas kemenangan pilihan raya pada awal Julai, Pezeshkian berkata bahawa Iran tidak berhasrat untuk membina bom nuklear dan bahawa ia tidak memainkan peranan dalam doktrin pertahanan negara itu.
-- BERNAMA
#Iran #Menteri Luar #abbas araghchi #diplomat veteran