Presiden Iran berkabung kematian Yahya Sinwar
Agensi
Oktober 19, 2024 08:00 MYT
Oktober 19, 2024 08:00 MYT
TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berkata, pemimpin Hamas, Yahya Sinwar telah berjuang dengan "gagah berani" pada detik-detik terakhir sebelum kematiannya.
Berita kematian Yahya Sinwar "sama-sama menyakitkan dan memilukan bagi pencinta kebebasan di seluruh dunia, terutama rakyat Palestin yang berani," kata Masoud Pezeshkian dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat dan diterbitkan oleh agensi berita rasmi Iran, IRNA.
"Perjuangan menentang pencerobohan dan usaha untuk mengembalikan kebebasan serta pembebasan kepada pemilik sah tanah yang diduduki adalah satu gerakan besar dan tujuan mulia.
"Ia tidak akan berakhir dengan pembunuhan atau penghapusan para wira dalam perjuangan ini," kata beliau lagi.
Tentera Israel berkongsi video yang menunjukkan detik-detik akhir Yahya Sinwar duduk bersendirian di atas kerusi dengan persekitarannya dipenuhi debu runtuhan bangunan dan , seolah-olah sedang melihat ke arah kamera.
Yahya Sinwar juga dilihat memegang sebatang kayu sebelum melemparkannya ke arah dron sebelum video itu berakhir. - Agensi