Presiden Iran beri amaran tiada kompromi terhadap protes Amini

Astro Awani
September 24, 2022 01:00 MYT
Ribuan rakyat menghadiri perhimpunan di ibu negara Tehran di mana mereka mengibarkan bendera Iran, dengan demonstrasi serupa diadakan di bandar-bandar lain. -Reuters
TEHRAN: Presiden Iran Ebrahim Raisi memberi amaran keras terhadap protes yang diadakan di negara itu baru-baru ini.
Amaran itu dikeluarkan sekembalinya beliau ke Tehran selepas berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Krisis di Iran tercetus susulan kemarahan orang ramai di atas kematian Mahsa Amini, seorang wanita muda yang ditangkap oleh polis moral di Tehran minggu lalu kerana didakwa memakai tudung terlalu longgar.
Polis berkata dia meninggal dunia akibat serangan jantung dan tidak dianiaya, namun keluarganya meragui kenyataan itu.
Kematian Amini telah mencetuskan kecaman hebat dari negara barat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Rakyat Iran merentasi sekurang-kurangnya 13 bandar dari ibu negara Tehran ke kampung halaman Amini di barat laut Kurdish, Saqez menyuarakan kemarahan terhadap penindasan sosial dan politik negara itu.
Raisi berkata tidak akan tunduk kepada protes dan beri amaran tindakan keras sekiranya protes mengganggu keselamatan negara dan keselamatan rakyat.
Ribuan rakyat menghadiri perhimpunan di ibu negara Tehran di mana mereka mengibarkan bendera Iran, dengan demonstrasi serupa diadakan di bandar-bandar lain.
Sementara itu, media melaporkan jumlah kematian akibat pergolakan minggu ini mencecah 26 orang.
#Ebrahim Raisi #Mahsa Amini #UNGA #PBB