Presiden Indonesia seru bersedia hadapi musim kemarau, risiko kebakaran hutan

Agensi
Julai 16, 2019 14:31 MYT
Jokowi sewaktu membuat tinjauan di kawasan tanah gambut yang mengalami kebakaran teruk beberapa tahun lalu. - Twitter @jokowi
Presiden Indonesia, Joko Widodo mengarahkan menteri dan ketua daerah mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk meredakan risiko kegagalan tanaman dan kebakaran hutan akibat musim kemarau susulan fenomena El Nino tahun ini.
Dalam satu mesyuarat Kabinet, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Jokowi berkata, cuaca kering dijangka memuncak pada Ogos hingga September ini, malah hujan dilaporkan tidak turun selama 61 hari di Jawa dan Bali setakat ini.
"Kami akan menjalankan pengubahsuaian cuaca atau membina peralatan yang baik, jika perlu," jelas Jokowi.
Pada masa sama, Menteri Alam Sekitar juga telah diarahkan untuk meningkatkan kawalan ke atas kawasan hutan yang kerap berlaku kebakaran.
"Saya harap kita boleh membuat ramalan dan mengelakkan kebakaran hutan dan gambut," ujarnya lagi.
Indonesia adalah antara negara yang paling terdedah dengan kebakaran hutan pada musim kemarau dan kebiasaannya berpunca daripada tindakan petani yang melakukan kerja pembersihan tanah untuk penanaman.
Beberapa tahun lalu, kes kebakaran hutan dan tanah ladang di Indonesia telah menyebabkan kesan jerebu teruk di republik itu, malah hingga merentasi sempadan negara-negara jiran.
#Joko Widodo #kebakaran hutan #kemarau #musim kering #musim panas #Presiden Indonesia
;