Presiden Indonesia lawat mangsa cedera dalam serangan bom

Bernama
Mei 26, 2017 17:11 MYT
Presiden Jokowi dan Naib Presiden Jusuf Kalla melawat salah seorang mangsa yang cedera akibat serangan bom bunuh diri di Jakarta. - Reuters
Presiden Indonesia Joko Widodo pada Khamis melawat mangsa yang cedera dalam serangan bom bunuh diri baru-baru ini yang kini dirawat di Hospital Kramat Jati Polis.
Dua letupan yang menggegarkan terminal bas Transjakarta di Kampung Melayu, Jakarta Timur, Rabu lalu menyebabkan tiga anggota polis terbunuh dan turut mencederakan 12 yang lain.
Joko yang dalam rangka lawatan ke Malang, Jawa Timur dan Boyolali, Jawa Tengah memendekkan lawatannya itu untuk melawat mangsa serangan di Jakarta.
Kumpulan militan Daish mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Polis Indonesia yang sebelum ini turut mengaitkan serangan terbaharu itu dengan kumpulan Daish, mendedahkan identiti dua suspek penyerang yang terbunuh dalam letupan tersebut, iaitu Ichwan Nurul Salam dan Ahmad Sukri, kedua-duanya berumur 31 tahun.
Salam menetap di Bandung, Jawa Barat manakala Sukri pula seorang tukang jahit di Bandar Garut.
Serangan kali ini merupakan siri serangan pengebom bunuh diri terbaharu di Indonesia sejak Januari 2016.
#bom #bunuh diri #daish #Jakarta #Joko Widodo #letupan #mangsa #militan #polis #presiden #serangan
;