Presiden Honduras terima rawatan COVID-19

Agensi
Jun 18, 2020 10:53 MYT
Juan Orlando Hernandez kini sedang menerima rawatan di hospital untuk gejala pneumonia. REUTERS/Fail
PRESIDEN Honduras Juan Orlando Hernandez menerima rawatan di hospital akibat pneumonia selepas disahkan positif COVID-19 minggu ini, umum kerajaan itu pada Rabu.
Menurut Francis Contreras, jurucakap agensi kesihatan Sinager, presiden berada dalam keadaan baik walaupun memerlukan rawatan khusus di hospital tentera, termasuk menggunakan titisan intravena.
“Status kesihatannya secara am adalah baik,” kata Contreras.
Hernandez dalam masa yang sama turut terpalit dengan kontroversi apabila salah seorang adik-beradiknya ditahan dalam operasi membanteras pengedaran dadah di Amerika Syarikat.
Isterinya, Ana Garcia juga disahkan positif koronavirus, namun tidak menunjukkan sebarang simptom.
Pada Selasa, Hernandez mengumumkan diagnosis positif COVID-19 itu dalam satu perutusan menerusi siaran televisyen.
Walaupun beliau disarankan untuk berehat oleh doktornya, namun beliau menegaskan akan terus bekerja dari jarak jauh.
Beberapa pemimpin dunia lain turut pernah menjangkiti COVID-19 termasuk Perdana Menteri British Boris Johnson yang menerima rawatan di hospital pada April sehingga pulih.
#Amerika Latin #Amerika Syarikat #Boris Johnson #COVID-19 #Honduras #Hospital #Juan Orlando Hernandez #koronavirus #pneumonia #rawatan #WHO
;