Presiden EU sasar muktamadkan perjanjian perdagangan Mercosur menjelang akhir tahun
Bernama
Jun 13, 2023 22:41 MYT
Jun 13, 2023 22:41 MYT
BRUSSELS: Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mahu memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas antara Kesatuan Eropah (EU) dan blok negara-negara Amerika Selatan Mercosur "menjelang akhir tahun", lapor Agensi Berita Jerman dpa.
"Kami berdua percaya sudah tiba masanya untuk memuktamadkan perjanjian Mercusor. Kami mahu menyelesaikannya secepat mungkin," kata von der Leyen pada Isnin selepas perbincangan dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.
EU telah berunding dengan Mercosur - termasuk Brazil, Argentina, Paraguay, dan Uruguay - sejak 1999 mengenai perjanjian itu yang akan mewujudkan salah satu kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia dengan lebih daripada 780 juta orang.
Halangan di pihak EU termasuk tuntutan agar hutan hujan Amazon dilindungi dan penebangan hutan untuk tujuan pemeliharaan ternakan dan pertanian dihentikan. Perjanjian itu masih perlu disahkan oleh semua negara anggota.
Perjanjian itu juga menjadi kontroversi di Amerika Selatan, dengan sesetengah negara mahu melindungi pasaran mereka, manakala yang lain bimbang akan kelonggaran dalam piawaian buruh atau alam sekitar.
"Saya fikir kedua-dua pihak mempunyai kelebihan besar. Perjanjian itu akan mewujudkan keadaan yang sesuai untuk aliran pelaburan," kata von der Leyen pada sidang akhbar bersama di Brasilia.
Lula mengkritik rancangan terbaharu untuk pengisytiharan tambahan dalam perjanjian itu, yang menurutnya hanya untuk mendiamkan pengkritik tanpa mendedahkan butiran perjanjian itu sekali lagi.
Beliau mendakwa lampiran tambahan dalam perjanjian ini boleh membuka jalan kepada sekatan sekiranya Brazil tidak memenuhi tuntutan EU.
"Premis antara rakan strategik mestilah saling mempercayai, bukannya tidak percaya dan tindakan sekatan," katanya.
-- BERNAMA