Presiden Erdogan mahu lihat gencatan senjata sebelum rundingan damai Rusia-Ukraine

Bernama
Mac 29, 2022 18:12 MYT
Turki mendapat pujian meluas atas usahanya menamatkan sengketa kedua-dua negara itu, berikutan negara itu menjalin hubungan mesra dengan Rusia dan Ukraine. - Foto REUTERS
ISTANBUL: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Selasa mengulangi gesaannya bagi gencatan senjata antara Rusia dan Ukraine menjelang rundingan damai di Istanbul demi menamatkan konflik yang sudah berlanjutan hampir dua bulan, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Kami percaya penyelesaian keamanan yang adil tidak akan merugikan sesiapa, dan tiada pihak inginkan konflik berpanjangan," kata Erdogan kepada delegasi Rusia dan Ukraine di Turki.
Beliau juga berkata Turki bersedia menjadi tuan rumah rundingan damai antara presiden Rusia dan Ukraine.
Turki telah mempamerkan pendekatan yang adil untuk melindungi hak, undang-undang dan sensitiviti kedua-dua pihak di semua platform antarabangsa, kata Erdogan.
Pusingan baharu rundingan damai antara Rusia dan Ukraine akan berlangsung di Istanbul pada Selasa.
Delegasi Rusia dan Ukraine tiba di bandar itu pada Isnin.
Terdahulu, Erdogan berkata beliau akan duduk bersama kedua-dua pihak untuk "pertemuan singkat" sebelum rundingan damai.
Beliau juga berkata perbualan menerusi telefon dengan rakan sejawatannya dari Ukraine dan Rusia akan diteruskan dan "menjurus kepada penyelesaian yang diingini."
Beberapa rundingan antara Rusia dan Ukraine telah diadakan di Belarus setakat ini, dan rundingan terakhir telah diadakan melalui pautan video pada 14 Mac, tanpa sebarang keputusan konkrit.
Turki menjadi tumpuan dunia pada 10 Mac, berikutan negara itu menjadi tuan rumah kepada pertemuan peringkat tertinggi kedua-dua pihak membabitkan menteri luar Rusia dan Ukraine di bandar Antalya di selatan Turki, sejak krisis tercetus.
Turki mendapat pujian meluas atas usahanya menamatkan sengketa kedua-dua negara itu, berikutan negara itu menjalin hubungan mesra dengan Rusia dan Ukraine.
Krisis Rusia-Ukraine mendapat tentangan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom serta beberapa negara lain melaksanakan sekatan kewangan ke atas Moscow.
Sekurang-kurangnya 1,151 orang awam terbunuh dan 1,842 yang lain cedera manakala lebih 3.87 juta melarikan diri ke negara jiran, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
-- BERNAMA
#Rusia #Ukraine #Turki #rundingan damai #Recep Tayyip Erdogan #Vladimir Putin
;