Presiden Emmanuel Macron sifatkan kematian Yahya Sinwar sebagai 'turning point'
Agensi
Oktober 18, 2024 09:00 MYT
Oktober 18, 2024 09:00 MYT
BRUSSELS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyifatkan kematian pemimpin Hamas, Yahya Sinwar sebagai titik perubahan (turning point) pada Khamis.
Bercakap pada sidang akhbar selepas pertemuan dengan pemimpin Kesatuan Eropah (EU) di satu persidangan di Brussels, Macron memaklumkan peluang ini harus dimanfaatkan agar semua tebusan dapat dibebaskan dan perang akhirnya dapat dihentikan.
"Hari ini merupakan titik perubahan serta kejayaan ketenteraan Israel. Saya fikir, seperti yang saya katakan kepada keluarga (Israel) pada 7 Oktober. Kesempatan ini harus dimanfaatkan untuk membebaskan semua tebusan dan untuk menghentikan perang ini.
"Memang perlu hentikan operasi ketenteraan dan setelah keputusan ini, menerima gencatan senjata di Gaza untuk membuka perspektif politik yang kredibel bagi kedua-dua pihak, Israel dan Palestin.
"Kami sedang berusaha ke arah itu bersama semua rakan kongsi kami – Israel, Arab, dan Amerika. Pada hari selepas perang di Gaza, kami perlu memberikan Israel jaminan kukuh untuk keselamatannya, mereformasi Pihak Berkuasa Palestin dan maju ke arah penyelesaian dua negara. Gencatan senjata segera di Gaza adalah diperlukan," kata beliau.
Rejim zionis itu menyifatkan kematian Sinwar yang berusia 61 tahun itu memberi tekanan terhadap Hamas yang memulakan perang Gaza pada 7 Oktober 2023.
Tentera Israel mengesahkan selepas mengejar selama setahun, pada Rabu, Isreal dari Komando Selatan membunuh Yahya Sinwar, yang merupakan Ketua Hamas di selatan Semenanjung Gaza.
Askar IDF Briged 828 (Bislach) yang beroperasi di kawasan itu mengenal pasti dan menghapuskan tiga individu selepas selesai proses pengecaman mayat, pihak Israel mengesahkan Yahya Sinwar telah dibunuh.
Rakaman dron dikeluarkan oleh tentera menunjukkan Sinwar bersendirian di sebuah apartmen yang diletupkan, dengan sebelah tangan cedera parah dan kepala ditutup dengan selendang tradisional, membaling kayu ke arah dron yang menghampiri pada saat-saat terakhirnya.