Presiden Ecuador bubar Dewan Perundangan di tengah proses pemecatan

Bernama
Mei 18, 2023 12:07 MYT
Semasa proses pemecatannya pada Selasa, Lasso menafikan tuduhan yang dibawa oleh majoriti wakil pembangkang dalam dewan bahawa beliau menggelapkan dana awam. - Foto AP
QUITO: Presiden Ecuador Guillermo Lasso pada Rabu membubarkan Dewan Perundangan negara itu melalui dekri di tengah-tengah proses pemecatan terhadapnya, Xinhua memetik laporan media tempatan.
Lasso membuat pengumuman itu pada sebelah pagi, memetik mekanisme Perlembagaan yang membenarkan presiden membubarkan Dewan Perundangan, mengadakan pilihan raya umum dan memerintah melalui dekri selama enam bulan.
Semasa proses pemecatannya pada Selasa, Lasso menafikan tuduhan yang dibawa oleh majoriti wakil pembangkang dalam dewan bahawa beliau menggelapkan dana awam.
Pada Rabu, anggota tentera dikerah berkawal di dalam dan di luar ibu pejabat Dewan Perundangan di ibu negara Quito selain memasang pagar besi.
Penggubal undang-undang yang berada di dalam bangunan diperintah keluar manakala yang lain dihalang daripada masuk, menurut kakitangan komunikasi Dewan Perundangan.
Menteri Dalam Negeri Juan Zapata tiba di Dewan Perundangan bagi memastikan pematuhan dekri dan memperkukuhkan keselamatan sekiranya berlaku keganasan.
Sementara itu, Gabungan Kebangsaan Warga Asli Ecuador mengecam keputusan untuk membubarkan Dewan Perundangan dan mengumumkan "mesyuarat luar biasa" dalam beberapa jam akan datang untuk menganalisa keadaan dan memutuskan langkah seterusnya.
-- BERNAMA
#Guillermo Lasso #Presiden Ecuador #bubar parlimen #pemecatan
;