Presiden China dan Taiwan bertemu di Singapura Sabtu ini
Agensi
November 4, 2015 09:32 MYT
November 4, 2015 09:32 MYT
China dan Taiwan yang disifatkan dua negara seteru sebelum ini, berkemungkinan memulakan lembaran hubungan baru.
Ini berdasarkan laporan pemimpin kedua-dua negara, Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Taiwan, Ma Ying-Jeou akan mengadakan pertemuan di Singapura Sabtu ini.
Pertemuan ini adalah yang pertama buat kedua-duanya.
Beijing dan Taipei memaklumkan pertemuan akan memfokuskan kepada hubungan antara dua negara berkenaan.
Jurucakap Taiwan, Chen Yi-hsin memaklumkan Ying-Jeou mahu memfokuskan kepada usaha keamanan merentasi selat Taiwan dan pada masa sama mengekalkan 'status quo'.
"Tiada sebarang perjanjian akan dimeterai, dan kedua-dua pihak juga tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan di akhir pertemuan itu," jelas Yi-hsin.
Sementara agensi berita rasmi China, Xinhua pula melaporkan kedua-dua pihak akan bertukar-tukar pandangan berhubung usaha mempromosi hubungan rentas selat yang aman.
Pertemuan itu turut mendapat reaksi Amerika Syarikat.
Jurucakap White House, Josh Earnest memaklumkan Washington mengalu-alukan langkah untuk mengurangkan ketegangan dan memperkukuh hubungan.
"Kami masih perlu memantau hasil pertemuan itu,"kata Earnest.
China menuntut Taiwan sebagai salah satu wilayahnya yang berdaulat sejak 1949.
Pulau itu menjadi pusat pentadbiran kerajaan Nasionalis, selepas ia tewas kepada Komunis.
Bagaimanapun hubungan Taiwan dengan tanah besar China semakin baik di bawah pentadbiran Presiden Ying-Jeou, apabila parti pimpinannya Kuomintang dilihat lebih pro-Beijing.
Kali terakhir kedua-dua pemimpin bertukar pandangan secara langsung adalah pada Julai 2009.
Ia merupakan yang pertama antara pemimpin China dan Taiwan dalam tempoh lebih 60 tahun.