Presiden Brazil umum tidak mahu ambil vaksin COVID-19

Agensi
Disember 18, 2020 11:44 MYT
Bolsonaro turut menyebarkan keraguan mengenai kesan sampingan dari vaksin CoronaVAC yang dibangunkan oleh farmaseutikal China Sinovac. - Reuters
BRASILIA: Presiden Brazil Jair Bolsonaro gemar memberikan kenyataan kontroversi. Terbaru, dia memaklumkan bahawa dirinya tidak akan mengambil vaksin COVID-19.
Kenyataan itu menyusul selepas beberapa dakwaan yang tidak berasas mengenai kesan sampingan yang dibawa oleh vaksin virus berkenaan.
“Sekiranya anda tidak mahu dirawat, anda berhak untuk tidak dirawat. Sebagai contoh, anda tidak mahu melakukan rawatan kemoterapi, itu hak anda. Begitu juga setelah vaksin dipersetujui oleh ANVISA (Badan Peraturan Kesihatan), kita akan tawarkan kepada semua orang vaksin ini, tetapi mereka yang tidak ingin mengambilnya, tidak perlu.
“Saya juga tidak akan mengambil vaksin COVID-19. Beberapa orang mengatakan bahawa saya membawa contoh yang buruk, ada yang mengatakan saya bodoh. Saya sudah pernah dijangkiti virus ini dan saya mempunyai antibodi, mengapa mahu mengambil vaksin lagi,” katanya dalam satu sidang media.
Sebelum ini pada Khamis, Mahkamah Agung Brazil memutuskan bahawa vaksinasi COVID-19 akan diwajibkan, sekali gus keputusan itu menjadi tamparan kepada gerakan anti vaksin.
Bagaimanapun, mahkamah turut memberitahu bahawa rakyat Brazil akan divaksin mengikut persetujuan mereka.
Bolsonaro yang baru pulih dari COVID-19 awal tahun ini, berulang kali mengatakan bahawa dia tidak akan mengambil vaksin dan menentang imunisasi wajib.
Bolsonaro turut menyebarkan keraguan mengenai kesan sampingan dari vaksin CoronaVAC yang dibangunkan oleh farmaseutikal China Sinovac.
Setakat ini, agensi kesihatan Brazil tidak memaklumkan mengenai imunisasi besar-besaran dalam masa terdekat.
#Jair Bolsonaro #Presiden Brazil #COVID-19 #vaksin COVID-19
;