Presiden Brazil tinggalkan kediaman rasmi kerana 'hantu'
Madiha Abdullah
Mac 12, 2017 17:13 MYT
Mac 12, 2017 17:13 MYT
PRESIDEN Brazil, Michel Temer, menyalahkan kuasa ghaib sebagai punca mengapa beliau dan keluarga terpaksa berpindah rumah.
Awal minggu ini, rakyat Brazil dikejutkan dengan berita perpindahan Temer dari kediaman rasmi presiden di Brasilia, ke kediaman yang lebih kecil, yang merupakan kediaman naib presiden.
Dalam satu kenyataan kepada akhbar Brazil, Temer menjelaskan beliau terpaksa mengambil tindakan itu kerana sering dihantui rasa pelik dan tidak selesa sepanjang mendiami rumah mewah itu.
"Kami tidak boleh tidur pada malam pertama di rumah itu. Kami tidak selesa, ada aura yang tidak baik di situ," kata Temer.
Satu lagi laporan yang dipetik dari akhbar Globo pula menyatakan, isteri Temer, Marcela, telah membawa seorang paderi untuk 'menyucikan' rumah itu, namun tidak berhasil.
Kediaman yang dikenali sebagai Alvorada Palace itu memiliki kolam renang sendiri, padang bola sepak, gereja dan pusat kesihatan.
Perpindahan itu sebelum ini menimbulkan banyak spekulasi, apatah lagi ia terjadi tatkala ramai sekutu Temer dikaitkan dengan pelbagai skandal dan isu rasuah.
Temer memulakan tugas sebagai Presiden Brazil pada Ogos 2016.