Presiden Brazil pecat ketua tentera
Bernama
Januari 22, 2023 11:20 MYT
Januari 22, 2023 11:20 MYT
WASHINGTON: Presiden Luiz Inacio Lula da Silva pada Sabtu memecat ketua tentera Jeneral Julio Cesar de Arruda, dua minggu selepas rusuhan berkaitan pilihan raya yang berlaku di Brasilia, ibu negara Brazil.
Lula membuat keputusan itu selepas bertemu dengan Arruda pada Jumaat dan komander cabang tentera yang lain, lapor United Press International (UPI) memetik media tempatan Folha de Sao Paulo.
Pasukan keselamatan telah menahan lebih 1,200 orang sejak penyokong bekas Presiden Jair Bolsonaro menyerbu bangunan Kongres, Istana Presiden dan Mahkamah Agung di Brasilia pada 8 Januari.
Penunjuk perasaan menuntut Lula yang mengangkat sumpah jawatan pada 1 Januari itu digulingkan.
Lula, ahli politik berhaluan kiri yang pernah berkhidmat sebagai presiden dari 2003 hingga 2010, menewaskan Bolsonaro dalam pilihan raya pada akhir Oktober lalu selepas memperoleh 50.9 peratus undi berbanding pencabarnya yang sekadar mendapat 49.1 peratus undi.
Jeneral Tomas Miguel Mine Ribeiro Paiva dinamakan sebagai pengganti Arruda yang telah menyandang jawatan itu sejak 28 Disember.
-- BERNAMA