Presiden Brazil dakwa Netanyahu mahu hapuskan Semenanjung Gaza
Astro Awani
Oktober 28, 2023 09:45 MYT
Oktober 28, 2023 09:45 MYT
BRASILIA: Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva menuduh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, mahu menghapuskan Semenanjung Gaza.
Lula da Silva turut sifatkan situasi di Asia Barat sebagai sangat kritikal dan mendesak supaya kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) ditamatkan.
"Apa yang jelas adalah kegilaan Perdana Menteri Israel untuk menghapuskan Semenanjung Gaza dengan melupakan ia bukan sahaja dihuni anggota Hamas.
"Kawasan ini juga didiami wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa perang ini," katanya.
Beliau turut mempertahankan pendirian Brazil mendesak gencatan senjata dikuatkuasakan untuk membenarkan akses bantuan ke Gaza.
"Cadangan Brazil untuk gencatan senjata antara Israel dan Hamas bagi membenarkan kemasukan bantuan ke Gaza ditolak. Ia tidak benar. Ia adalah satu pembohongan. Daripada 15 yang mengundi, 12 menyokong, dua berkecuali dan satu menentang. Mengapa ia dinafikan?
"Ia diveto kerana kegilaan kuasa veto yang diberikan kepada lima negara anggota Majlis Keselamatan yang secara radikalnya saya tentang. Ini langsung tidak demokratik," katanya.
Israel sehingga kini tidak mengendahkan desakan komuniti antarabangsa untuk menamatkan serangan henti dan memasuki minggu ketiga.