Presiden Brazil batalkan lawatan ke Sidang Kemuncak BRICS akibat cedera di kepala

Bernama
Oktober 21, 2024 12:10 MYT
Lula da Silva disarankan untuk mengelakkan perjalanan jarak jauh. - Foto fail/AP
SAO PAULO: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dimasukkan ke hospital di Brasilia selepas mengalami kecederaan di kepala akibat kemalangan di kediamannya pada Sabtu, lapor Xinhua.
Pejabat Presiden mengumumkan bahawa lawatan beliau ke Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Oktober di Kazan telah dibatalkan atas nasihat perubatan.
Lula da Silva, 78, disarankan untuk mengelakkan perjalanan jarak jauh, menurut kenyataan pejabatnya.
Bagaimanapun, beliau akan menyertai sidang kemuncak itu melalui persidangan video dari Brasilia dan meneruskan jadual kerjanya seperti biasa minggu depan.
Presiden itu dimasukkan ke hospital di Brasilia dengan kecederaan lebam pada bahagian belakang kepala.
"Selepas menjalani penilaian oleh pasukan perubatan, Lula dinasihatkan untuk mengelakkan perjalanan jauh namun masih boleh menjalankan tugas-tugas lain," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan doktor.
-- BERNAMA
#Luiz Inacio Lula da Silva #sidang kemuncak BRICS #kecederaan di kepala #perjalanan jarak jauh
;