Presiden Brazil bandingkan serangan Israel ke atas Gaza dengan tindakan holokus oleh Hitler
Agensi
Februari 18, 2024 07:15 MYT
Februari 18, 2024 07:15 MYT
ADDIS ABABA: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva telah menuduh Israel melakukan "pembunuhan beramai-ramai" terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan membandingkan serangannya ke atas Gaza dengan kempen Adolf Hitler untuk menghapuskan orang Yahudi.
“Apa yang berlaku di Semenanjung Gaza bukanlah peperangan, ia adalah pembunuhan beramai-ramai,” kata Lula kepada pemberita di sini, semasa menghadiri Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika pada Ahad.
Tegas Lula, apa yang berlaku lebih tiga bulan lalu di Semenanjung Gaza bukanlah perang askar melawan askar, sebaliknya, ia merupakan perang yang dirancang antara tentera dengan kaum wanita dan kanak-kanak.
“Apa yang berlaku di Semenanjung Gaza dengan rakyat Palestin tidak pernah berlaku pada bila-bila masa lain dalam sejarah.
“Sebenarnya, ia telah berlaku: apabila (Adolf) Hitler memutuskan untuk membunuh orang Yahudi," tambah Lula lagi.
Pada 1930, semasa Perang Dunia ke-2, pemimpin Nazi, Hitler secara sistematik telah merampas hak dan membunuh enam juta orang Yahudi di Jerman.
Pembunuhan beramai-ramai itu juga disebut sebagai holokus.
Susulan kenyataan Lulu itu, Menteri Luar Israel, Israel Katz berkata, beliau akan memanggil duta Brazil untuk memberi teguran berhubung kenyataan itu.
"Tiada siapa yang akan menjejaskan hak Israel untuk mempertahankan diri," kata Katz pada X, sambil menambah bahawa utusan itu akan dipanggil hari ini (Isnin).
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula menyifatkan kenyataan Lulu itu sebagai "memalukan dan serius".
“Membuat perbandingan antara Israel dan Nazi dan Hitler merupakan tindakan yang melampaui batas,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan.
Lula, 78, mengutuk serangan 7 Oktober yang diketuai Hamas ke atas Israel selatan sebagai tindakan "pengganas" pada hari ia berlaku.
Bagaimanapun, sejak perang bermula juga, Lula lantang mengkritik kempen ketenteraan balas Israel di Gaza.
Dalam masa sama, Lula mengkritik keputusan negara Barat baru-baru ini untuk menghentikan bantuan kepada agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA, selepas Israel menuduh beberapa pekerjanya terlibat dalam serangan yang diketuai Hamas.
Pemimpin itu yang bertemu dengan Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh pada Sabtu di luar sidang kemuncak itu berkata, Brazil akan meningkatkan sumbangannya sendiri kepada agensi itu dan menggesa negara lain untuk melakukan perkara yang sama.
"Apabila saya melihat negara kaya menghentikan sumbangan mereka kepada bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin, saya hanya membayangkan betapa besarnya kesedaran politik orang-orang ini dan betapa besarnya semangat perpaduan dalam hati mereka.
"Kita perlu berhenti menjadi kecil apabila kita perlu menjadi besar," tegas Lula lagi.
Beliau turut mengulangi gesaannya untuk penyelesaian dua negara bagi konflik itu, dengan Palestin "diiktiraf secara muktamad sebagai negara yang penuh dan berdaulat." - Al Jazeera