Presiden AS Biden tandatangani 50 RUU pada malam Krismas
Bernama
Disember 25, 2024 18:01 MYT
Disember 25, 2024 18:01 MYT
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Khamis menandatangani 50 rang undang-undang (RUU) menjadi undang-undang, menangani isu-isu seperti perlindungan belia, etika dalam jawatan awam dan keselamatan di kampus, lapor Agensi Anadolu (AA).
Antara undang-undang baharu itu ialah "Akta Hentikan Penyalahgunaan Institusi Kanak-Kanak" yang diperjuangkan oleh selebriti Paris Hilton.
Undang-undang ini mewujudkan kumpulan kerja persekutuan untuk memantau kesihatan, keselamatan, penjagaan, rawatan dan penempatan kanak-kanak bawah umur dalam program-program kediaman belia, termasuk pusat pemulihan.
Satu lagi undang-undang menghalang anggota Kongres yang disabitkan dengan jenayah berkaitan rasuah awam daripada menerima faedah persaraan mereka.
Pembaharuan dwipartisan ini susulan sabitan baru-baru ini terhadap Senator Bob Menendez dari New Jersey yang didapati bersalah menggunakan pengaruh politiknya untuk memberi manfaat kepada ahli perniagaan dan kerajaan asing sebagai pertukaran untuk rasuah.
Rang undang-undang ketiga, "Stop Campus Hazing Act" bertujuan membanteras budaya "hazing" dalam pendidikan tinggi.
Ia menghendaki kolej dan universiti memasukkan laporan insiden "hazing" dalam pendedahan keselamatan tahunan mereka dan mewajibkan pendidikan mengenai bahaya "hazing" kepada pelajar. Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha lebih meluas untuk menggalakkan keselamatan dan akauntabiliti di kampus.
Satu lagi undang-undang, S. 4610, secara rasmi menetapkan burung helang botak sebagai burung rasmi AS, yang mana tidak ada undang-undang sebelumnya yang mengaitkan burung itu dengan kerajaan persekutuan.
-- BERNAMA