Presiden Bank Dunia letak jawatan
Bernama
Februari 16, 2023 11:21 MYT
Februari 16, 2023 11:21 MYT
WASHINGTON: Presiden Kumpulan Bank Dunia David Malpass pada Rabu membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan akan meninggalkan bank itu pada akhir Jun, lapor Agensi Akhbar Jerman dpa.
Malpass berkata beliau akan berundur pada 30 Jun selepas mengetuai kumpulan itu selama lebih empat tahun, menurut kenyataan bank pembangunan yang berpangkalan di Washington itu.
"Empat tahun yang lalu adalah antara yang paling bermakna dalam kerjaya saya dengan banyak kemajuan dicapai, namun selepas berfikir, saya memutuskan untuk meneruskan cabaran baharu.
"Dengan negara membangun berhadapan krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini, saya berbangga kerana Kumpulan Bank telah bertindak balas dengan pantas, berskala, berinovasi dan memberi impak," katanya.
Bank Dunia meminjam wang kepada negara miskin dengan syarat yang menguntungkannya bagi mengukuhkan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan negara peminjam. Organisasi ini disokong oleh 189 negara di seluruh dunia.
Malpass memegang jawatan itu pada 2019 semasa pemerintahan Presiden Donald Trump yang mencalonkannya untuk tempoh lima tahun dan akan berundur kira-kira setahun sebelum penggalnya berakhir.
Beliau dikritik hebat termasuk oleh Rumah Putih dan Menteri Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan Jerman Svenja Schulze kerana kenyataannya mengenai perubahan iklim.
-- BERNAMA