Presiden baharu Chile ikrar agih kekayaan secara adil
Bernama
Mac 12, 2022 13:13 MYT
Mac 12, 2022 13:13 MYT
ANKARA: Presiden baharu Chile, Gabriel Boric pada Jumaat berikrar akan mengagihkan semula kekayaan negara sambil berusaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi selepas negara ini dicengkam pergolakan sosial sejak bertahun-tahun lamanya.
"Negara ini perlu bangkit semula, berkembang dan mengagihkan hasil pertumbuhannya dengan adil.
"Bila kekayaan tidak diagihkan dengan adil dan hanya tertumpu kepada segelintir sahaja, sangat sukar untuk mengecapi keamanan. Kita perlu agihkan semula kekayaan yang dihasilkan rakyat Chile," kata Boric dalam ucapan sulungnya di Istana Presiden La Moneda di Santiago, lapor Agensi.
Mengenai perlembagaan, beliau berkata, kerajaannya "semestinya" menyokong perlembagaan yang menjadi lambang dan mewakili seluruh negara, termasuk wanita dan komuniti Orang Asli.
"Kita perlukan perlembagaan yang menyatukan kita semua. Perlembagaan yang adil dan demokrasi," katanya.
Boric, 36, menjadi presiden termuda yang memerintah negara Amerika Selatan itu.
Beliau menewaskan calon sayap kanan Jose Antonio Kast pada Disember dengan memperoleh 55.8 peratus undi.
Kabinetnya terdiri 14 wanita dan 10 lelaki, satu perkembangan yang belum pernah berlaku sebelum ini yang menyaksikan majoriti kementerian diterajui kaum wanita.
Pergolakan sosial tercetus pada 19 Okt 2019, berikutan kenaikan tambang pengangkutan sebanyak empat peratus. - BERNAMA