Presiden Ashraf Ghani tolak peletakan jawatan menteri

Astro Awani
Ogos 27, 2018 04:04 MYT
Ashraf Ghani sebaliknya meminta mereka yang menyerah surat peletakan jawatan agar membantu memperkukuhkan pertahanan negara. - Gambar fail
Presiden Afghanistan Ashraf Ghani pada Ahad menolak peletakan jawatan yang diserahkan menteri dalam negeri, menteri pertahanan dan ketua perisikan negara itu.
Ia dilakukan ketika kerajaan berdepan kritikan hebat susulan peningkatan serangan pemberontak.
Surat peletakan jawatan diterima pada Sabtu, namun Ashraf mengarahkan Menteri Pertahanan, Tariq Shah Bahrami, Menteri Dalam Negeri, Wais Ahmad Barmak dan ketua perisikan, Masoom Stanekzai terus menjalankan tugas.
Selain itu, Ashraf turut meminta mereka membantu memperkukuhkan pertahanan negara.
Pentadbiran presiden itu ketika ini dikritik hebat kerana gagal mengawal pergerakan pemberontak yang berleluasa.
Pada masa sama, pihak Taliban terus meningkatkan serangan terhadap polis dan tentera di seluruh negara, manakala militan Daesh menjadikan Kabul sebagai sasaran.
#Afghanistan #Ashraf Ghani #menteri #peletakan jawatan #pemberontak #pertahanan #Taliban