Presiden Amerika ucap Selamat Hari Raya AidilAdha

Farhan Hakimi
Jun 17, 2024 08:20 MYT
Presiden Joe Biden dan isteri, Jill Biden mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada komuniti muslim di Amerika Syarikat dan umat Islam di seluruh dunia.
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan isteri, Jill Biden mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada komuniti muslim di negara itu dan umat Islam di seluruh dunia.
Menerusi satu hantaran yang dikongsi di laman Instagram, beliau turut mendoakan semua jemaah yang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci memperoleh haji mabrur.
Dalam masa sama, Biden menyeru seluruh anggota masyarakat memperbaharui komitmen terhadap nilai yang menyatukan seperti empati, saling menghormati dan kasih sayang.
"Kesemua nilai tersebut adalah bertepatan dengan nilai Amerika Syarikat dan juga agama Islam.
"Saya turut bersimpati ke atas insan yang tidak berdosa, yang menjadi mangsa keganasan rejim Israel dan kononnya pasukan pejuang Hamas.
"Pentadbiran saya akan berupaya mencuba segala cara untuk menghentikan perang yang berlaku termasuk dengan mengusahakan solusi dua negara antara Israel dan Palestin.
"Saya percaya, cadangan resolusi gencatan senjata yang dikemukakan adalah penyelesaian terbaik bagi konflik berkenaan," ujar Biden.
Selain konflik Israel-Palestin, Biden turut berikrar, pentadbirannya akan berusaha membawa kedamaian bagi konflik yang berlaku di Sudan, komuniti Rohingya di Burma dan masyarakat Uyghur di China.
Tambah Presiden AS lagi, ini semua adalah sebahagian daripada komitmen beliau untuk mengakhiri 'Islamophobia' dalam kalangan masyarakat dan segala jenis diskriminasi terhadap komuniti tertentu kerana Biden percaya, kebencian tiada tempat di AS.
#hari raya aidiladha #Presiden Joe Biden #Haji 2024 #haji mabrur
;