Presiden Afrika Selatan Jacob Zuma mohon maaf seleweng dana untuk kediaman peribadi
Agensi
April 2, 2016 09:01 MYT
April 2, 2016 09:01 MYT
Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma memohon maaf berhubung skandal jutaan dolar yang dibelanjakan untuk kediaman peribadinya.
Beliau juga akur dengan keputusan Mahkamah Perlembagaan negara itu yang mengarahkan beliau membayar balik sebahagian wang dana kerajaan yang diselewengnya.
Pada masa sama, Zuma juga mengakui perkara sebelum ini sepatutnya dikendalikannya dengan cara yang berbeza.
“"Mengambil iktibar dari kes ini, saya berpendapat banyak perkara mengenainya seharusnya dikendalikan dengan cara yang berbeza,” kata Zuma dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung di televisyen negara itu.
Jelasnya, beliau sedar mengenai kesan perbuatannya itu yang mana turut mencetuskan kebimbangan banyak pihak mengenai dakwaan rasuah yang berlaku di peringkat tertinggi kerajaan serta tuntutan perletakan jawatannya sebagai presiden oleh Pembangkang.
Bagaimanapun, pemecatan beliau memerlukan persetujuan majoriti dua per tiga dalam Parlimen.
Sementara itu, Mahkamah Perlembagaan turut memutuskan bahawa Parlimen gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya berhubung skandal perbelanjaan yang dilakukan Zuma.