Presiden Afghanistan tinggalkan negara untuk elak pertumpahan darah
Reuters
Ogos 15, 2021 05:41 MYT
Ogos 15, 2021 05:41 MYT
PRESIDEN Afghanistan Ashraf Ghani mengesahkan telah meninggalkan negara itu dengan alasan untuk mengelakkan pertumpahan darah ketika pemberontak Taliban memasuki ibu kota Kabul.
Dalam muat naik di Facebooknya, Ghani berkata, beliau berdepan keputusan yang sukar dengan nasib jutaan penduduk Kabul dan keamanan ibu kota itu dipertaruhkan selepas 20 tahun perang yang membuatkan ramai terbunuh.
"Untuk mengelakkan pertumpahan darah, lebih baik saya keluar," katanya dalam kenyataan pertama selepas meninggalkan Istana Presiden dan menaiki kapal terbang untuk ke luar negara.
Dia menambah, pemberontak Taliban yang telah memasuki Istana Presiden di Kabul kini mempunyai tanggungjawab yang besar.
"Taliban memperoleh kemenangan dalam perlawanan pedang dan senjata api dan mereka bertanggungjawab untuk melindungi kehormatan, kemakmuran dan harga diri rakan senegara kita," katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran mengenai lokasinya sekarang.
Saluran berita Al-Jazeera yang memetik pengawal peribadi Presiden menyatakan Ghani, isterinya, ketua kakitangan dan penasihat keselamatan negara itu telah terbang ke Tashkent di negara jiran Uzbekistan.