Presiden Abbas lantik komander keselamatan dan pertahanan awam baharu

Bernama
Mac 2, 2025 14:30 MYT
Presiden Palestin Mahmoud Abbas melantik komander baharu bagi Pasukan Keselamatan Negara dan seorang lagi untuk Pasukan Pertahanan Awam. - Foto AP
RAMALLAH: Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Sabtu melantik komander baharu bagi Pasukan Keselamatan Negara dan seorang lagi untuk Pasukan Pertahanan Awam, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik agensi berita Palestin, WAFA.
Abbas melantik Mejar Jeneral Al-Abd Ibrahim Khalil sebagai komander baharu Pasukan Keselamatan Negara, menggantikan Mejar Jeneral Nidal Abu Dukhan yang bersara selepas memegang jawatan itu sejak 2011.
Pasukan Keselamatan Negara Palestin merupakan sebuah agensi keselamatan berorientasikan ketenteraan dengan misi utamanya adalah untuk mempertahankan tanah air, melindungi masyarakat serta mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.
Selain itu, Abbas menaikkan pangkat Brigedier Jeneral Akram Thawabta ke pangkat mejar jeneral dan melantiknya sebagai komander Pasukan Pertahanan Awam.
Pelantikan itu dibuat susulan keputusan Abbas pada 18 Februari untuk melantik Raed Abu Al-Homs sebagai ketua Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan bertaraf menteri, menggantikan Abdul Qader Hamed (Qadura Fares) yang bersara.
Pada 20 Februari, Abbas turut mengeluarkan dekri presiden melantik Ayman Qandil sebagai ketua Pihak Berkuasa Hal Ehwal Awam bertaraf menteri, menggantikan Hussein Al-Sheikh.
-- BERNAMA
#Mahmoud Abbas #Palestin #komander baharu #pasukan keselamatan negara
;