Prayuth mahu berkhidmat sepenggal lagi, bertanding di bawah parti baharu
Bernama
Januari 10, 2023 12:16 MYT
Januari 10, 2023 12:16 MYT
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mahu berkhidmat sepenggal lagi di bawah parti baharu bagi meneruskan tugas yang belum selesai untuk memperbaik negara.
Pemimpin junta berusia 68 tahun itu yang telah menerajui negara sejak rampasan kuasa pada 2014 dan kemudian dipilih sebagai Perdana Menteri pada 2019, secara rasmi menyertai parti Ruam Thai Sang Chart (Parti Bangsa Thai Bersatu atau UTN) pada Isnin untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang dijadualkan sebelum Mei tahun ini.
"Saya di sini bukan kerana kuasa tetapi ada kerja yang belum selesai... negara perlu maju," katanya kepada 10,000 hadirin yang hadir pada majlis pelancaran kempen pilihan raya UTN pada Isnin.
Prayuth berjanji untuk menyelesaikan isu termasuk rasuah, kos sara hidup yang meningkat dan kemiskinan.
Beliau bertanding dalam pilihan raya umum akan datang walaupun had penggal lapan tahunnya sebagai Perdana Menteri berakhir pada 2025.
Pada September, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa Prayuth layak memegang jawatan sehingga 2025.
Mahkamah memutuskan beliau telah menjadi perdana menteri sejak 2017 dan perlembagaan semasa melarang seseorang daripada berkhidmat sebagai perdana menteri melebihi lapan tahun.
Pada Disember, Prayuth mengumumkan beliau meninggalkan Palang Pracharath Party (PPRP) yang mengetuai gabungan kerajaan semasa dan mahu berkhidmat sebagai perdana menteri untuk penggal ketiga menerusi parti UTN.
Pilihan raya umum akan datang dijangka berlangsung pada 7 Mei jika Dewan Perwakilan melengkapkan penggal penuh empat tahunnya yang tamat pada 23 Mac.
Sekiranya Dewan dibubarkan sebelum 23 Mac, SPR akan mengadakan pilihan raya umum sekurang-kurangnya 45 hari selepas pembubaran dan tidak lebih daripada 60 hari selepas pembubaran, mengikut Seksyen 103 Perlembagaan.
Pada pilihan raya akan datang, UTN mesti memperoleh sekurang-kurangnya 25 daripada 500 kerusi untuk menamakan Prayuth sebagai calon perdana menteri. Dewan Perwakilan akan mengundi memilih Perdana Menteri dalam kalangan nama-nama yang dicalonkan oleh parti masing-masing.
-- BERNAMA