Prayut sahkan timbalannya kekal dalam barisan kabinet baharu

Bernama
November 17, 2017 23:27 MYT
Prayut Chan-o-cha berkata beliau tidak akan mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan, sambil menafikan cadangan akan melantik bekas ahli politik untuk jawatan menteri dalam barisan Kabinetnya. - Gambar fail
Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha mengesahkan timbalannya Jen Prawit Wongsuwan dan Menteri Dalam Negeri Jen Anupong Paojinda akan dikekalkan dalam rombakan Kabinet akan datang.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kedua-duanya akan memegang portfolio yang sama atau memegang jawatan baharu selepas rombakan itu.
"Jen Prawit dan Jen Anupong akan kekal (dalam Kabinet)," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar dan Pengurusan Beras di Rumah Kerajaan di sini hari ini.
Perdana Menteri juga ditanya mengenai nasib Menteri Pertanian dan Koperasi Jen Chatchai Sarikulya, yang dikritik selepas kementeriannya gagal menyelesaikan beberapa masalah berkaitan pertanian.
Menurut Prayut, Chatchai yang merupakan rakan sekelasnya akan kekal dalam Kabinet, tetapi tidak menyatakan portfolio baharunya.
Beliau juga menolak spekulasi bahawa beliau akan mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan yang kini dipegang oleh timbalannya, Prawit atau melantik Ketua Polis Negara Jen Chakthip Chaijinda sebagai menteri dalam barisan Kabinet baharunya.
"Saya tidak akan mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan," katanya sambil menafikan cadangan akan melantik bekas ahli politik untuk jawatan menteri dalam barisan Kabinetnya.
Prayut juga berkata beliau masih belum mengemukakan senarai barisan Kabinetnya untuk perkenan Raja Vajiralongkorn.
Beliau juga meminta mereka bersabar kerana pengumuman akan dibuat pada Disember.
-- BERNAMA
#Jen Anupong Paojinda #Jen Prawit Wongsuwan #kabinet #kerajaan #Perdana Menteri #politik #Prayut Chan-O-Cha #Thailand #Timbalan Perdana Menteri
;