Prasarana latih pemandu dan penyelia operasi MRT Jakarta
Bernama
Februari 21, 2017 21:11 MYT
Februari 21, 2017 21:11 MYT
Anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Prasarana Integrated Management and Services Engineering (PRIME) akan memberi latihan kepada penyelia operasi dan pemandu sistem Transit Aliran Massa (MRT) Jakarta bermula April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PRIME Masnizam Hisham berkata ia susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Akademi Perkeretaapian Indonesia (API) Oktober lepas untuk kedua-dua pihak bertukar maklumat, pengetahuan, kepakaran teknikal dan operasi dalam bidang berkenaan.
Beliau berkata latihan akan dijalankan oleh Akademi Rel iaitu pusat latihan di bawah pengurusan Rapid Rail Sdn Bhd.
"Kumpulan pertama 10 pemandu dan lima penyelia tren akan datang ke Akademi Rel dan disusuli kelompok seterusnya, di samping peluang menambah kerjasama di bidang-bidang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Prasarana sebelum ini, menjalin kerjasama dengan Arab Saudi sebagai pengendali operasi dan penyelenggaraan Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line sejak 2015, termasuk menyediakan latihan kepada pemandu tren Arab Saudi untuk musim haji.
-- BERNAMA