Pramugari Korean Air positif COVID-19, lebih 200 penumpang dikhuatiri dijangkiti
Agensi
Februari 27, 2020 11:33 MYT
Februari 27, 2020 11:33 MYT
Lebih 200 penumpang pesawat penerbangan Korean Air dikhuatiri dijangkiti koronavirus apabila seorang pramugari syarikat penerbangan tersebut disahkan positif jangkitan COVID-19.
Pramugari yang tidak didedahkan identitinya itu dilapor telah memberikan layanan kepada lebih 200 penumpang ketika bertugas dalam dua penerbangan ke Tel Aviv dan Los Angeles, bulan ini.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea dalam perkembangan terkini mengesahkan 31 daripada lebih 200 penumpang berkenaan dijangkiti virus tersebut dalam penerbangan ke Tel Aviv.
Korean Air dilapor menghentikan operasinya di Lapangan Terbang Incheon bagi melakukan operasi pembasmian kuman susulan pengesahan tersebut.
Berikutan penularan virus tersebut yang semakin serius di negara itu, Korean Air kini mewajibkan semua kakitangannya memakai topeng muka.
Syarikat itu turut menyediakan sut hazmat sebagai langkah kecemasan sekiranya jangkitan dikesan sewaktu penerbangan.
Setakat Khamis, Korea Selatan mencatatkan 2,022 kes dan 13 kematian akibat jangkitan COVID-19.