Prabowo tegaskan komitmen perkukuh hubungan pertahanan dengan Mesir
Bernama
Julai 11, 2024 16:46 MYT
Julai 11, 2024 16:46 MYT
JAKARTA: Menteri Pertahanan Indonesia yang juga bakal presiden Prabowo Subianto menegaskan komitmennya untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala yang harmoni dan saling menguntungkan dengan Mesir.
Komitmen ini dinyatakan semasa pertemuan dengan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb di Kementerian Pertahanan pada Rabu.
Prabowo menyampaikan penghargaan Indonesia terhadap Mesir, menekankan kepentingan sejarahnya sebagai antara negara terawal yang mengiktiraf kemerdekaan Indonesia, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
"Saya secara peribadi sangat mengagumi sejarah Mesir dan ketabahan rakyatnya," katanya semasa perbincangan yang berlangsung selama satu jam itu.
Pertemuan itu meliputi perbincangan mengenai perubahan dalam dunia Islam, harapan Mesir terhadap Indonesia sebagai negara Islam terkemuka dan usaha bersama untuk keamanan di Gaza, Palestin.
Sementara itu, Sheikh Al-Azhar mengucapkan tahniah kepada Prabowo atas kemenangannya dalam pilihan raya baru-baru ini dan mendoakan kejayaannya dalam memimpin Indonesia maju ke hadapan serta memperjuangkan kepentingan negara.
"Indonesia mempamerkan model Islam yang unggul dalam pembangunan dan kemajuan sambil mengekalkan agama dan nilai dalam masyarakat yang pelbagai budaya," katanya.
Prabowo dijadual dilantik sebagai Presiden kelapan pada 20 Oktober 2024.
-- BERNAMA