Prabowo Subianto adakan pertemuan dengan pemimpin Gerindra sebelum mula berkempen

Fuad Misbah
Mei 22, 2014 18:31 MYT
Calon President Pilihan Raya Presiden Indonesia 2014, Prabowo Subianto - AP Photo/Tatan Syuflana
Calon Presiden daripada Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Prabowo Subianto, hari ini menganjurkan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti Gerindra seluruh Indonesia.
Beliau yang juga merupakan Ketua Dewan Pembina Parti (DPP) Gerindra berkata, tujuan pertemuan dengan semua Ketua Dewan Pemimpin Daerah (DPD) Gerindra seluruh Indonesia diadakan adalah untuk membincangkan soal kempen dan strategi kemenangan yang akan diambil untuk memastikan kejayaan Prabowo memenangi kerusi Presiden dan gandingannya, Hatta Rajasa sebagai Naib Presiden Republik Indonesia.
"Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan dan mengkoordinasikan soal teknikal kempen," kata Prabowo seperti yang dilaporkan oleh Kompas.com sewaktu ditemui di Pejabat DPP Gerindra di Jakarta Selatan, Jakarta, Indonesia.
Menurut Prabowo lagi, strategi yang akan digunakan oleh beliau dan Hatta untuk memenangi Pilihan Raya Presiden kali ini adalah dengan memperkuatkan hubungan dengan seluruh daerah. Pemimpin-pemimpin tertinggi Gerindra akan meminta semua Ketua DPD untuk bergabung dan menjadi jurukempen secara tidak langsung.
"Kita akan turun padang bersama rakyat, menganjurkan program-program untuk rakyat dan meminta mandat daripada rakyat," kata beliau lagi.
Dikhabarkan, Prabowo akan memulakan kempen beliau hujung minggu ini dan wilayah pertama yang dipilih adalah Kalimantan Timur.
Pasangan gandingan Prabowo-Hatta disokong oleh Gerindra, Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Amanat Nasional (PAN), Parti Persatuan Pembangunan (PPP), dan Parti Golongan Karya (Golkar) manakala lawan mereka, Joko Widodo dan Jusuf Kalla pula disokong oleh Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Nasdem, dan Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura).
Parti Demokrat yang di bawah pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sehingga kini memilih untuk tidak terlibat di dalam Pilihan Raya Presiden Julai akan datang setelah gagal untuk bergabung dengan mana-mana parti politik untuk mengajukan calon Presiden mereka sendiri.
#Hatta Rajasa #Indonesia #pilihan raya presiden #Pilpres #Prabowo Subianto
;