Prabowo perlu kekalkan momentum pembangunan bagi merealisasikan IKN - Penganalisis

Irfan Faruqi
Julai 30, 2024 22:09 MYT
Ilustrasi Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara. - Gambar Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Bakal Presiden Indonesia yang akan mengangkat sumpah pada Oktober akan datang, Prabowo Subianto perlu mengekalkan momentum pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) untuk merealisasikan hasrat memindahkan ibu kota republik itu ke Kalimantan.

Ringkasan AI
  • Pentingnya Mengekalkan Momentum: Bakal Presiden Prabowo Subianto perlu mengekalkan momentum pembangunan IKN untuk menarik minat pelabur asing dan merealisasikan pemindahan ibu kota ke Kalimantan. Sumber Dana Seimbang: Pembiayaan projek IKN perlu seimbang antara peruntukan kerajaan pusat dan pelaburan asing untuk memastikan kelangsungan pembangunan tanpa membebankan kerajaan. Tujuan Pemindahan Ibu Kota: Pemindahan ibu kota diumumkan oleh Presiden Joko Widodo sebagai usaha untuk pemerataan ekonomi, mengatasi masalah perbandaran di Jakarta, dan mencapai wawasan Indonesia Emas 2045.

Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed berkata, tanpa momentum tersebut pelabur asing tidak akan berminat untuk melabur bagi tujuan projek mega berkenaan.
“Penting untuk pelabur asing melihat prestasi bakal Presiden Prabowo Subianto dalam mengekalkan momentum pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara dikekalkan.
“Jika momentum dikekalkan dan tumpuan diberikan dalam pembangunan IKN ini, saya rasa hanya ketika itu pelabur asing yang telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Indonesia akan mula merealisasikan pelaburan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Prabowo perlu kekalkan momentum pembangunan bagi merealisasikan IKN - KRA
Amir turut menyentuh mengenai aspek kewangan bagi tujuan pembinaan ibu kota baharu Indonesia tersebut.
Menurutnya, sumber dana bagi projek itu perlu seimbang di antara peruntukan langsung kerajaan pusat dan dana daripada pelaburan.
"Tidak boleh hanya kerajaan Indonesia sahaja yang mengeluarkan perbelanjaan, memandangkan sudah pasti ada banyak keperluan lain bagi memenuhi tuntutan semasa rakyat.
“Contohnya, mengawal inflasi, melaksanakan projek makan percuma seperti yang dijanjikan oleh Prabowo. Ini menelan belanja yang besar sehingga USD4 bilion. Nusantara memerlukan lebih USD30 bilion untuk dibangunkan sebagai sebuah ibu kota berdaya saing,” ujarnya.
Idea pemindahan ibu negara dan pembangunan IKN diumumkan Presiden Joko Widodo (Jokowi) pada 29 April 2019 antara lain sebagai sebahagian agenda pemerataan ekonomi, mencipta mercu tanda kota pentadbiran baharu menuju wawasan Indonesia Emas 2045, serta sebagai langkah mengatasi pelbagai masalah perbandaran yang dihadapi oleh Jakarta.
IKN ini turut disasarkan menjadi tempat berlangsungnya sambutan hari ulang tahun kemerdekaan republik berkenaan, pada 17 Ogos nanti.
Agenda AWANI: Era baharu Indonesia | Dari Jakarta ke Nusantara
#Prabowo Subianto #Joko Widodo #ibu kota negara #tuntutan semasa
;