Prabowo - Hatta tekad takluk Jawa Barat

Bernama
Julai 2, 2014 21:29 MYT
Hatta Rajasa: Tekad pastikan Jawa Barat sebagai kubu kuat. - Gambar fail
Calon naib presiden, Hatta Rajasa bertekad memastikan Jawa Barat sebagai kubu kuat untuk meraih sokongan terhadap beliau dan calon presiden, Prabowo Subianto dalam Pemilihan Umum (PEMILU) Presiden minggu depan.
Bekas Menteri Penyelaras Perekonomian Indonesia itu berkata Jawa Barat adalah kawasan yang paling ramai penduduk di kepulauan Jawa dan pola pengundi di wilayah berkenaan boleh dijadikan petunjuk, calon pasangan mana yang bakal memenangi PEMILU Presiden 9 Julai ini.
Tidak pernah dalam sejarah, pasangan calon yang menang pilihan raya (presiden) tidak meraih kemenangan di Jawa Barat. Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menang dua kali di Jawa Barat, membolehkan beliau menang Pemilu Presiden 2004 dan 2009.
"Ini bermakna, kemenangan di Jawa Barat akan membawa kejayaan di peringkat nasional," kata Hatta semasa lawatannya ke Sumedang, Jawa Barat, untuk menghadiri deklarasi sokongan terhadap pasangan Prabowo-Hatta, pada Rabu.
Hatta berkata berdasarkan kaji selidik terkini, populariti beliau dan Prabowo semakin meningkat apabila memperoleh 60 peratus sokongan masyarakat di Jawa Barat.
Biarpun meraih pencapaian itu, Hatta mengingatkan pemimpin dan penyokong mereka agar terus bekerja keras menjelang PEMILU Presiden yang semakin hampir.
Jawa Barat mempunyai 32.2 juta pengundi berdaftar dan angka itu mewakili 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pemilih di Indonesia.
Justeru, Jawa Barat diibaratkan sebagai 'kawasan penting' kepada kedua-dua pasangan calon, jika berhasrat memenangi PEMILU Presiden tersebut.
Pada PEMILU Presiden kali ini, pasangan Prabowo-Hatta akan berdepan gandingan Joko Widodo-Jusuf Kalla.
#Hatta #Indonesia #Pemilu #Prabowo
;