Prabowo-Hatta berhasrat pindah ibu negara Indonesia
Bernama
Mei 22, 2014 21:35 MYT
Mei 22, 2014 21:35 MYT
Pasangan calon presiden dan naib presiden, Prabowo Subianto-Hatta Rajasa berhasrat memindahkan ibu negara Indonesia jika terpilih dalam Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden, 9 Julai depan.
Kedua-dua tokoh politik itu seperti dipetik oleh kompas.com pada Khamis, sebagai berkata langkah tersebut adalah bagi mempercepat pembangunan infrastruktur Indonesia bagi tempoh lima tahun akan datang.
Namun, dalam visi serta misi Prabowo-Hatta yang diberikan kepada Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) menjelang pemilihan umum itu, tidak dinyatakan lokasi ibu kota yang baharu tersebut.
Bagi mempercepat pembangunan infrastruktur, Prabowo-Hatta berkata ialah dengan menyokong proses penghasilan dari kegiatan ekonomi utama pada enam koridor 'Masterplan Percepatan dan Perluasan Pembangunan Ekonomi Indonesia (MP3EI)'.
Selain membangun prasarana di seluruh wilayah Indonesia berupa jalan dan jambatan, rancangan mempercepat pembangunan infrastruktur juga ialah dengan menyegerakan pembangunan pengairan dan pelabuhan perikanan pesisir.
Mengikut perancangan, mereka akan membangunkan 3,000km jalan raya nasional baharu yang moden serta 4,000km rel kereta api.
"Bagi tujuan itu, anggaran perbelanjaan ke daerah untuk pembangunan dan pemeliharaan infrastruktur dan kemudahan awam di provinsi dan kota atau daerah akan diperbesar," kata kedua-dua pemimpin berkenaan.