Prabowo akan berkunjung ke Malaysia bertemu Anwar selepas melawat Mesir

Bernama
Disember 17, 2024 20:00 MYT
Prabowo berlepas ke Kaherah pada Selasa sempena lawatan rasmi dan menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun dalam Kerjasama Ekonomi (D8) yang berlangsung dari 17 hingga 19 Dis. - Gambar fail/Reuters
JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto akan mengadakan kunjungan ke Malaysia untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas lawatan rasmi beliau ke Kaherah, Mesir.
"(Saya) juga mampir (singgah) ke Malaysia untuk bertemu dengan Perdana Menteri (Datuk Seri) Anwar Ibrahim," kata Prabowo di sidang media di Lapangan Terbang Tentera Udara Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur.
Beliau berlepas ke Kaherah pada Selasa sempena lawatan rasmi dan menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun dalam Kerjasama Ekonomi (D8) yang berlangsung dari 17 hingga 19 Dis.
Kunjungan Presiden Indonesia ke Mesir ini merupakan yang pertama sejak 2013.
"Mesir adalah sahabat dekat kita, rakan strategik bagi Indonesia dan negara penting di Timur Tengah,” kata Prabowo.
Di Kaherah, beliau dijadualkan bertemu dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Kepresidenan Al Ittihadiyah.
Selain agenda bilateral, Prabowo juga akan menghadiri sidang kemuncak D-8 dan mengambil alih jawatan Pengerusi D-8 daripada Pengerusi semasa, Mesir, bagi tempoh 2026-2027.
Selesai sidang kemuncak, beliau dijadualkan melakukan pertemuan tidak rasmi dengan beberapa tokoh ekonomi dan industri.
"Dalam kondisi (suasana) sekarang, saya kira sidang kemuncak D-8 ini adalah suatu acara yang penting, kerana itu saya hadir," katanya.
-- BERNAMA
#lawatan rasmi #Prabowo Subianto #tokoh ekonomi #sidang kemuncak
;