Portugal negara terpantas menua di EU: Kajian
Bernama
Ogos 22, 2022 12:06 MYT
Ogos 22, 2022 12:06 MYT
LISBON: Portugal kini merekodkan 182 warga emas (berumur 65 tahun ke atas) bagi setiap 100 orang muda (berumur sehingga 14 tahun), sekali gus menjadi negara paling cepat menua dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah (EU), menurut kajian yang diterbitkan Pangkalan Data Portugal Kontemporari Portdata pada Ahad.
Dalam tempoh tiga dekad lalu, populasi warga emas meningkat tiga kali ganda di negara itu, menurut data Institut Statistik Kebangsaan Portugis (INE) dan diterbitkan oleh akhbar Publico.
Pada 1990, nisbah bagi setiap 66 warga emas adalah 100 orang muda, lapor Xinhua.
Portugal mencatatkan kadar penuaan tahunan sebanyak 3.6 peratus, lebih tinggi berbanding semua negara EU, menurut kajian itu.
Menurut Jorge Malheiros, penyelidik di Pusat Kajian Geografi Institut Geografi dan Perancangan Spatial di Universiti Lisbon, pertumbuhan pesat kadar penuaan di Portugal adalah hasil daripada penghijrahan golongan muda dari negara itu dan kemasukan warga asing yang sudah bersara.
"Ini tidak sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang dramatik," kata pakar migrasi dan demografi itu.
Tetapi beliau juga memberi amaran bahawa "masyarakat memerlukan tenaga orang muda."
"Kita perlu belajar untuk hidup dengan masyarakat yang lebih tua," kata Malheiros. - BERNAMA