Pornografi kanak-kanak: Demi RM90, ibu gamak jual anak untuk berlakon video lucah

Agensi
Januari 9, 2018 16:15 MYT
Hasil siasatan menunjukan video itu dirakam di antara bulan November dan Disember tahun lalu. -Gambar hiasan
Suspek yang didakwa terlibat dalam aktiviti rakaman tiga video lucah membabitkan kanak-kanak di Bandung dikatakan menerima bayaran wang di antara 300,000 rupiah dan 31 juta rupiah (kira-kira RM90 - RM9,300).
Dalang pembikinan video yang juga pengarahnya dilapor mendapat bayaran paling lumayan mencecah RM9,300, manakala pelakon wanitanya pula didakwa diberi bayaran sebanyak 800,000 rupiah (kira-kira RM240).
Selain pengarah dan pelakon wanita tersebut, ibu kanak-kanak yang merelakan anak mereka berlakon video lucah berkenaan turut mendapat bayaran di antara 300,000 rupiah (RM90) dan 500,000 rupiah (RM140).
Mangsa kanak-kanak pula dilapor diberi upah sebanyak 800,000 rupiah (RM224).
Media Indonesia dalam laporan pada Selasa menyebut bahawa suspek melakukan perbuatan keji itu kerana kesempitan wang.
BACA: Polis Indonesia bongkar sindiket video seks babitkan kanak-kanak
BACA: Video pornografi budak: Ibu mangsa turut saksikan aksi lucah anak - polis
BACA: Pornografi kanak-kanak: Dua ibu mangsa antara yang ditahan
Insiden ini menggemparkan Indonesia sejak beberapa hari apabila tersebarnya video pornografi melibatkan perempuan dewasa dengan beberapa kanak-kanak lelaki di media sosial.
Media tempatan melaporkan ada tiga video yang sudah tersebar: satu video panjang berdurasi 1 jam 11 minit dan dua video pendek masing-masing berdurasi 2 minit dan 2.5 minit.
Video panjang mempertontonkan adegan lucah di antara perempuan dewasa dengan dua kanak-kanak lelaki, manakala video pendek memaparkan adegan sama, namun dengan pelakon yang berbeza.
Pihak berkuasa Indonesia berjaya menemukan lokasi kejadian di dua hotel di Bandung dan sejumlah barang bukti dari bilik berkenaan telah disita.
Melalui analisis CCTV dan video yang tersebar, polis telah mengenal pasti tiga mangsa dan juga enam suspek terdiri daripada pengarah, pelakon serta dua ibu mangsa yang didakwa bersekongkol dalam insiden memalukan itu.
Polis dalam pada itu berkata masih memburu seorang lagi suspek.
#CCTV #Kanak-kanak #pedofil #video
;