Populasi Korea Selatan diramal menurun lebih 30% menjelang 2072 - Data
Bernama
September 24, 2024 08:15 MYT
September 24, 2024 08:15 MYT
SEOUL: Korea Selatan dijangka mengalami penurunan populasi yang ketara dalam 50 tahun akan datang dan kedudukan globalnya dalam senarai negara paling ramai penduduk akan jatuh sebanyak 30 anak tangga akibat kadar kelahiran yang ultra-rendah dan penuaan yang cepat, menurut data yang dikeluarkan pada Isnin.
Populasi negara ini dijangka akan merosot kepada 36 juta pada tahun 2072, menurun 30.8 peratus daripada 52 juta tahun ini.
Populasi Korea Selatan mencapai puncaknya pada tahun 2020 dan telah menunjukkan penurunan, lapor agensi berita Yonhap, memetik data daripada Perangkaan Korea.
Namun, populasi dunia diramalkan akan terus meningkat dalam tempoh yang disebutkan, mencapai 10.22 bilion pada 2072, berbanding anggaran 8.16 bilion tahun ini.
Korea Selatan berada di kedudukan negara ke-29 paling ramai penduduk di dunia pada 2024, tetapi kedudukan ini dijangka jatuh kepada ke-59 pada tahun 2072, menurut agensi itu.
Negara ini menghadapi cabaran demografi yang serius kerana ramai golongan muda memilih untuk menangguhkan atau membatalkan hasrat untuk berkahwin atau mempunyai anak selaras dengan perubahan norma sosial dan gaya hidup, serta dalam keadaan pasaran kerja yang sukar dan harga rumah yang semakin meningkat.
Kadar kesuburan, iaitu purata bilangan anak yang dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya, mencatatkan paras terendah baharu iaitu 0.72 pada tahun 2023, menurun daripada 0.78 pada tahun sebelumnya.
-- BERNAMA