Populasi India mengatasi China menjelang pertengahan 2023
Astro Awani
April 19, 2023 17:05 MYT
April 19, 2023 17:05 MYT
INDIA sedia mendahului China sebagai negara paling ramai penduduk menjelang pertengahan tahun 2023, dengan kelebihan hampir 3 juta orang, menurut jangkaan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.
Populasi India akan mencatatkan 1.4286 bilion berbanding China yang berjumlah 1.4257 bilion pada pertengahan tahun ini, berdasarkan laporan populasi dunia pertubuhan itu.
Jumlah penduduk China berkurangan tahun lalu buat kali pertama sejak tahun 1960, apabila jutaan orang mati kebuluran akibat polisi pertanian yang buruk oleh bekas pemimpin, Mao Zedong.
AFP melaporkan, ramai pihak menyatakan bahawa penyusutan populasi China kini disebabkan kenaikan kos sara hidup selain meningkatnya jumlah wanita yang memasuki dunia pekerjaan dan pengajian tinggi.
Beijing telah mengakhiri polisi satu anak pada 2016 dan mula menggalakkan pasangan untuk memiliki tiga orang anak pada 2021. Polisi itu dahulunya dikuat kuasa pada tahun 1980-an susulan kebimbangan tentang ledakan populasi.
China berdepan penurunan demografi lantaran kadar kelahiran yang menjunam sementara tenaga kerja semakin menua.
Sesetengah wilayah juga telah mengumumkan perancangan untuk menggalakkan kadar kalahiran, namun usaha rasmi setakat ini masih gagal mengubah trend penyusutan.
India pula tidak mempunyai data rasmi mengenai jumlah penduduknya memandangkan negara itu tidak menjalankan bancian sejak 2011.
Bancian setiap tempoh sedekad sepatutnya diadakan pada tahun 2021 namun ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.
Hambatan masalah logistik dan politik menyaksikan proses bancian itu berkemungkinan tertangguh lagi. Ia sekali gus mengundang kritikan, bahawa pemerintah India sengaja mahu menyembunyikan data populasi penduduk kerana tidak bersedia menjawab tentang isu pengangguran dan peluang pekerjaan.
Separuh daripada populsi India merupakan mereka yang berusia bawah 30 tahun, sementara terdapat satu kajian yang menyatakan bahawa negara itu sudahpun melepasi angka 1 bilion penduduk sejak tahun 1950.