Pope Francis tolak guna kereta mewah ketika disambut Presiden Jokowi
Agensi
September 4, 2024 22:03 MYT
September 4, 2024 22:03 MYT
JAKARTA: Pope Francis menunjukkan kerendahan hati semasa lawatannya ke Indonesia dengan memilih untuk tinggal di Kedutaan Vatican, Jakarta walaupun mendapat penginapan khas hotel lima bintang.
Pope akan berada di Indonesia selama empat hari sehingga 6 September ini sebagai sebahagian daripada lawatan Asia-Pasifik selama 12 hari.
Selain menolak penginapan di hotel, Pope Francis juga memilih untuk tidak menggunakan kereta mewah semasa berada di Indonesia sebaliknya memilih Toyota Innova iaitu sebuah kenderaan yang biasa digunakan rakyat Indonesia.
Pengerusi Jawatankuasa Lawatan Pope Francis ke Indonesia, Ignatius Suharyo memaklumkan, Pope Francis turut meminta agar kawalan keselamatan semasa lawatannya tidak terlalu ketat dan dibiarkan sederhana.
Semasa lawatannya, Pope Francis sebagai ketua Negeri Vatican juga melakukan lawatan kenegaraan ke Istana Merdeka, Jakarta dan bertemu dengan Presiden Joko Widodo.
Jokowi dan Presiden terpilih Prabowo Subianto serta beberapa pimpinan termasuk Menteri Hal Ehwal Luar, Retno Marsudi dan Menteri Hal Ehwal Agama, Yaqut Cholil Qoumas menyambut ketibaan ketua gereja katolik.
Pada Rabu, beliau turut bertemu uskup, paderi dan diakon di Katedral Jakarta pada sebelah petang dan bertemu belia Scholas Occurrentes di Pusat Belia Graha Pemuda Senayan.
Paus juga akan mengambil bahagian dalam dialog antara agama di Masjid Istiqlal, Jakarta pada Khamis kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan disusuli pertemuan dengan penerima manfaat pertubuhan kebajikan di Pejabat Persidangan Uskup Indonesia (KWI).
Dalam masa sama beliau akan mempengerusikan misa suci besar di Stadium Utama Gelora Bung Karno pada sebelah petang yang akan dihadiri ribuan penganut Katolik dan berlepas ke Papua New Guinea pada Jumaat sebelum kembali ke Rom pada 13 September.