Pope Francis cuci kaki pelarian untuk sebar mesej keamanan
Agensi
Mac 25, 2016 13:29 MYT
Mac 25, 2016 13:29 MYT
Pemimpin Vatican, Pope Francis, mencuri perhatian ramai pada sambutan Hari Easter dengan mencuci kaki 11 pemohon suaka dari pelbagai negara dan agama, dengan tujuan membawa mesej antarabangsa mengenai kepentingan melindungi golongan pelarian.
AFP melaporkan, beberapa pemohon suaka berusia muda itu menitiskan air mata apabila Francis yang berusia 79 tahun itu melutut di depan mereka, menjirus air ke kaki mereka seterusnya mengelap serta mengucupnya.
Francis berkata, tindakannya itu mahu diterjemah kepada umum sebagai suatu yang bertentangan dengan ‘sifat peperangan dan kemusnahan, seperti yang berlaku di Brussels’ dan bertentangan juga dengan ‘orang yang tidak mahu hidup dalam keamanan’.
Antara yang dipilih untuk ritual simbolik itu adalah empat warga Nigeria beragama Katolik, tiga wanita Eritrea Koptik, tiga lelaki Islam dari Mali, Pakistan dan Syria, serta seorang etnik India beragama Hindu.
“Kita semua adalah saudara dan mahu tinggal dalam keamanan,” ujar Francis di Castelnuovo di Porto yang terletak di utara Rome itu.
Pusat Castelnuovo yang diuruskan Kementerian Dalam Negeri itu menaungi seramai 892 orang dari 25 buah negara, termasuk 36 wanita dan tujuh orang yang di bawah umur.
Pope Francis telah lama menyeru komuniti global terutamanya di Eropah, agar menerima golongan pelarian selain menentang unsur xenofobia.