'Pompa Malaysia' jadi talian hayat penduduk Palu
Bernama
Oktober 18, 2018 10:11 MYT
Oktober 18, 2018 10:11 MYT
Di saat bekalan air bersih makin kritikal pasca gempa bumi dan tsunami yang meranapkan kota Palu, 'Pompa Malaysia' kini menjadi 'talian hayat' mereka untuk mendapatkan keperluan asas berkenaan.
'Pompa' atau perigi yang digali atas inisiatif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu memberi kelegaan kepada mangsa yang berhadapan risiko dijangkiti penyakit bawaan air seperti Kolera, E-Coli, Hepatitis A dan E selain Leptospirosis (kencing tikus) kerana menggunakan sumber air tidak bersih.
Warga Palu, Rusman Muhamad Taer, 45, menyifatkan bantuan diberikan itu satu rezeki terbesar buat warga kota berkenaan.
"Sebelum ini ada di antara kami terpaksa 'berpuasa' daripada meminum air kerana bekalan air bersih terlalu terhad dan kami perlu mengutamakan golongan lebih memerlukan seperti bayi dan kanak-kanak, kaum ibu serta warga emas.
"Terima kasih ya Malaysia, bagus bangat (sangat) semua bantuan yang dihulurkan, mudah buat kami mendapatkan minuman, Malaysia sentiasa peka dan terbaik," katanya ketika ditemui Bernama di Masjid Darul Hikmah, di sini yang menempatkan satu daripada tiga Pompa Malaysia.
Mapim mengambil tindakan segera membina perigi-perigi berkenaan selepas mengambil kira pengumuman kerajaan Indonesia berkaitan keperluan terdesak warga Kota Palu terhadap bekalan air bersih selepas dilanda bencana 28 Sept lalu.
Ketua Misi Bantuan Kecemasan Sulawesi Tengah Mapim, Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata setakat hari ini, tiga Pompa Malaysia yang sudah boleh digunakan telah memberi manfaat kepada lebih 150 keluarga.
Beliau berkata Mapim dalam proses menyiapkan pembinaan tujuh lagi Pompa Malaysia di beberapa kawasan strategik di sekitar Kota Palu.
"Pompa ini istimewa, sumber airnya diperoleh hasil galian sedalam kira-kira 80 meter menggunakan gerudi tanah manakala pembinaannya dilengkapi tiga tabung saringan dan penapisan selain satu tabung pembunuh kuman.
"Ia berupaya menghasilkan sumber bekalan air bersih selamat diminum kerana hasil pemeriksaan kita menggunakan alat bacaan mendapati kadar PH air ini selepas ditapis adalah di tahap PH7," katanya.
Gempa bumi 7.7 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Palu setakat ini telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan.
-- BERNAMA
#Ahmad Sani Araby Al-Kahery
#air bersih
#bencana
#gempa bumi
#Kota Palu
#mangsa
#MAPIM
#penyakit bawaan air
#perigi
#pompa Malaysia
#Sulawesi Tengah
#tsunami