Politik kebencian, perpecahan jejaskan usaha memerangi COVID-19 - Hishammuddin

Harits Asyraf Hasnan
Jun 19, 2020 12:17 MYT
Hishammuddin menegaskan, rusuhan dan demonstrasi di beberapa negara tertentu adalah bertentangan dengan langkah-langkah penjarakan sosial dan kebersihan diri. - Foto Wisma Putra
Politik kebencian dan perpecahan telah memperlahankan usaha global memerangi wabak COVID-19, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menteri Luar menegaskan, rusuhan dan demonstrasi di beberapa negara tertentu adalah bertentangan dengan langkah-langkah penjarakan sosial dan kebersihan diri.
“Dalam memerangi wabak ini, kehidupan dan kesihatan rakyat harus menjadi perkara terpenting.
“Kita tidak boleh membiarkan diskriminasi dari segi perkauman dan xenofobia mengalihkan perhatian kita dari perjuangan melawan COVID-19.
“Melangkah ke hadapan, saya menggariskan tiga perkara fokus yang Malaysia rasakan perlu dikawal, dikurangkan dan ditangani mendepani COVID-19 dan kesannya kepada kita iaitu menghapuskan COVID-19, memulihkan semula ekonomi dan menghidupkan kembali kerjasama antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Video Peringkat Tertinggi mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) berkaitan COVID-19 atas jemputan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi.
Hishammuddin pada masa sama berkata, beliau tidak dapat membayangkan masa depan rakyat dunia untuk berada dalam ketakutan dan tidak aman.
Jelasnya, kebersatuan adalah asas kepada BRI untuk kekal solidariti menghentikan virus ini.
#China #ekonomi #Hishammuddin Hussein #kesihatan #koronavirus #Menteri Luar #penjarakan sosial #politik #video
;